IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di dalam tandas sebuah pasaraya di Station 18 di sini, pada Ahad.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 3.30 petang, ketika mangsa membuang air kecil sendirian sementara ibunya yang berusia 38 tahun menunggu di hadapan tandas lelaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ibu mangsa menyedari perbuatan itu selepas melihat muka anaknya pucat sejurus keluar dari tandas.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipanggil oleh suspek yang berusia 29 tahun masuk ke dalam bilik tandas dan bertindak melondehkan seluar mangsa serta melakukan seks oral sebanyak dua kali.

“Suspek kemudiannya melepaskan mangsa dan ketika itulah mangsa memberitahu ibunya mengenai perbuatan suspek,” katanya di sini.

Menurutnya, suspek bertindak menguncikan diri dalam tandas selepas perbuatannya diketahui keluarga mangsa.

“Kejadian itu telah disedari oleh orang awam yang turut membantu menangkap suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Mohd Ali berkata, suspek yang bekerja sebagai pemotong buah telah direman selama tujuh hari sehingga 5 Mei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan.