TAIPING – Polis sedang giat memburu seorang tahanan yang bertindak meloloskan diri dari lokap Balai Polis Taiping, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek Pang Hung Boon, 37 tahun sebelum itu ditahan atas Akta Dadah Berbahaya 1952 langkah-langkah pencegahan khas dan mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Ketika kejadian lebih kurang jam 7.33 petang, pembekal makanan tahanan lokap telah memasuki ke dalam kawasan lokap bagi menghantar makanan untuk makan malam.

“Semasa salah seorang anggota bertugas sedang membuka pintu utama bagi lelaki berkenaan keluar setelah hantar makanan, tiba-tiba suspek telah meluru keluar dari pintu utama dan melarikan diri ke arah kawasan parkir bengkel kenderaan IPD sebelum memanjat pagar keluar,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau tiga anggota yang bertugas mengawal lokap ketika kejadian telah cuba mengejar dan menangkap suspek namun gagal.

Katanya lagi, sehingga sekarang suspek masih gagal dikesan dan tindakan masih diteruskan.

“Usaha mengesan dan mencari suspek telah digerakkan dengan penglibatan pegawai dan anggota IPD Taiping dari semua bahagian.

“Unit Pengesan (K9) dari IPK Perak turut serta dalam gerakan mengesan suspek,” ujarnya lagi.