Pengerusi Biro Buruh DAP A Sivanesan mencadangkan, selain Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pihak polis perlu menyiasat majikan-majikan yang tidak membayar gaji kepada pekerja.

“Ini kerana kuasa JTK dalam kes-kes sebegini sangat terhad bawah Akta Pekerjaan 1955,” katanya.

Ketika dihubungi, Sivanesan yang juga exco sumber manusia Perak berkata jika majikan tidak membayar gaji pekerja selepas 7 hari bulan setiap bulan dan menyimpan gaji tersebut, ia boleh diklasifikasi sebagai pecah amanah dan jenayah.

“Pihak polis boleh menyiasat kes sebegini mengikut seksyen 405 Kanun Keseksaan bagi tuduhan pecah amanah dan seksyen 107 kanun aturan jenayah,” kata Sivanesan yang juga seorang peguam.

“Apa yang kita nampak sekarang, sekiranya terdapat laporan polis terhadap majikan yang tidak bayar gaji, pihak polis menasihati pengadu membawa kes ini kepada JTK.

“Sebenarnya, tugas polis adalah menyiasat aduan bukannya menasihati. Biar, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) membuat keputusan seterusnya apakah kes perlu dibawa ke mahkamah sebaliknya menyerahkan kepada JTK,” jelasnya.

Mogol pada 28 Februari lepas.
Menyentuh kes terbaru di Sepang, apabila 2,000 warga Nepal mogok tiga hari selepas sebuah syarikat sarung tangan didakwa tidak membayar gaji selama tiga bulan, Sivanesan berkata insiden itu satu contoh terbaik keperluan polis bertindak sebelum JTK.

“Dalam kes ini majikan tiga bulan tak bayar gaji. Pasport pekerja dirampas. Ia sudah jelas satu jenayah dan juga pecah amanah.

“Sebagai contoh, kuasa JTK adalah hanya menuduh majikan bagi kesalahan tidak membayar gaji dan sebagainya.

“Tetapi, mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan majikannya untuk membayar gaji tertunggak.

“Pekerja secara peribadi masih perlu ke mahkamah untuk mendapatkan gaji tertunggak,” ujarnya lagi.

JTK dikatakan dimaklumkan tentang mogok itu oleh polis pada 29 Januari lalu.

Jawatankuasa itu memberitahu sudah berkunjung ke premis syarikat bersama wakil Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kedutaan Bangladesh dan Kedutaan Nepal bagi mengenal pasti punca mogok.

Selepas berbincang, katanya lagi, syarikat setuju untuk membayar gaji dan upah lebih masa yang tertunggak secara berperingkat, dengan bayaran akhir pada 28 Februari.

JTK mengesahkan syarikat tersebut akan dibawa ke mahkamah. Jabatan itu bagaimanapun tidak memaklumkan peruntukan undang-undang yang akan digunakan – Malaysiakini