IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah paling dikehendaki yang dikenali `Geng Samun Rem Sawit’ apabila menembak mati ketua kumpulan itu dalam satu kejadian berbalas tembakan berhampiran Taman Lahat Indah di Lebuhraya Ipoh-Lumut pada Isnin malam.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian jam 9.00 malam itu, pasukan khas polis yang menaiki sebuah kenderaan telah terserempak dengan saspek yang menunggang sebuah motosikal  jenis Honda EX5 berhampiran taman berkenaan.

Menurut beliau, pihak polis telah memperkenalkan diri dan cuba menahan suspek tetapi secara tiba-tiba suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Tembakan yang dilepaskan suspek telah mengenai pintu kenderaan polis tetapi tiada kecederaan di pihak polis dan dalam usaha mempertahankan diri pihak polis telah membalas tembakan menyebabkan suspek rebah,’’ katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa.

Hasnan berkata, siasatan polis mendapati suspek yang berumur 24 tahun dan berasal dari Batu Gajah itu mempunyai 9 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan lain-lain jenayah, selain turut dikehendaki berhubung kes samun empat kenderaan yang masih dalam perbicaraan di Kampar.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal ditempat kejadian, polis merampas sepucuk revolver Smith & Wesson .38, beberapa butir peluru .38, sebilah parang dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, polis telah membuat beberapa serbuan secara berasingan dan berjaya menangkap dua lelaki India berumur 26 dan 33 tahun berasal dari Ipoh.

Katanya, hasil risikan polis mendapati geng terbabit juga terlibat dalam satu kes samun di pejabat timbangan sawit di Tapah yang melibatkan kerugian RM30,000.

“Daripada siasatan lanjut, polis percaya telah dapat menumpaskan satu kumpulan samun yang melakukan pelbagai jenayah terancang seperti samun, pecah rumah dan jenayah kekerasan,’’ katanya.