KUALA KANGSAR: Polis menembak tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max sebelum menahan dua lelaki tempatan dan enam warga Myanmar di susur masuk Plaza Tol Kuala Kangsar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju dan menghimpit unit kereta peronda polis (MPV) selepas suspek enggan berhenti untuk diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian itu polis juga terpaksa memecahkan cermin kenderaan itu selepas suspek enggan membuka pintu kereta dan bekerjasama dengan polis sebaik kenderaan itu berhenti selepas tayarnya ditembak.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan kemudian menemui enam warga Myanmar berusia 16 hingga 30 tahun berada di bahagian kerusi penumpang belakang.

Katanya, susulan itu dua lelaki tempatan berusia 40-an yang juga pemandu dan penumpang hadapan kereta itu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk enam warga Myanmar terbabit.

“Siasatan mendapati enam warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu diambil di Kelantan untuk dibawa bekerja di Kuala Lumpur.

“Hasil ujian air kencing terhadap dua lelaki tempatan itu positif syabu dan seorang dari mereka turut mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/243941