MUAR – Tindakan seorang pemandu yang enggan memberhentikan kenderaan pacuan empat roda sehingga mengancam nyawa anggota polis memaksa pihak berkuasa melepaskan tiga das tembakan pada kenderaan suspek.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, berlaku insiden kejar antara polis trafik dengan pemandu terbabit selepas dia memotong garisan ketika di persimpangan lampu isyarat.

“Kira-kira jam 7.45 pagi, empat anggota polis trafik yang ketika itu sedang mengawal lalu lintas di lampu isyarat Jalan Salleh melihat satu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger memotong garisan.

“Anggota bertugas cuba menahan pemandu lelaki berkenaan, namun suspek terus memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, empat anggota trafik itu kemudiannya mengejar pemandu terbabit dengan mengarahkan agar suspek berhenti.

“Bagaimanapun, pemandu enggan berhenti dan terus menuju ke Jalan Dato Haji Kosai, di sini sebelum tiba di persimpangan lampu isyarat di situ lalu merempuh tiga kenderaan lain yang berhenti kerana lampu merah.

“Seorang daripada anggota kami kemudiannya bertindak menghalang suspek dengan memberhentikan motosikalnya di antara persimpangan itu dengan berhadapan kenderaan suspek, namun pemandu terus memecut menyebabkan nyawa polis terancam, memaksa anggota itu melepaskan tembakan,” katanya.

Azman berkata, tiga das tembakan dilepaskan sebelum dua daripadanya mengenai tayar kanan kenderaan terbabit.

Katanya, lelaki berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dua jam kemudian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, 186 dan 279 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara berbahaya.

-SinarHarian