KUALA LUMPUR: Agensi keselamatan siber nasional, CyberSecurity Malaysia, sudah menyerahkan laporan mereka kepada polis mengenai identiti dua lelaki yang dirakam berasmara di atas ranjang dan dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Bagaimanapun, selain mengesahkan hal itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Huzir Mohamed, enggan memberikan butiran lanjut.

“Kami akan membincangkannya dengan Jabatan Peguam Negara.

“Terserah kepada mahkamah untuk menentukan siapa yang ada dalam video tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan program pencegahan jenayah di Kuala Lumpur hari ini dan dipetik The Star Online.

Terdahulu Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata orang ramai mahu tahu sama ada rakaman video tersebut – yang dianggap Azmin sebagai cubaan memusnahkan kerjaya politiknya – tulen atau tidak.

Kata Anwar, orang ramai juga mahu tahu siapa yang menyebarkan rakaman tersebut. Untuk rekod klip memaparkan dua lelaki bercengkerama di atas katil itu mula disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Semalam Huzir memberitahu Malaysiakini, enam orang – termasuk bekas ketua Pemuda PKR, Haziq Abdul Abdullah Aziz, ditahan reman untuk membantu siasatan.

Haziq sebelum ini mengaku salah seorang lelaki dalam rakaman itu adalah dirinya.

Dia juga mendakwa insiden tersebut berlaku dalam sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

 

-MalaysiaKini