IPOH: Seorang anggota polis bantuan di sebuah syarikat utiliti di Sungai Siput terkejut apabila menerima enam butir peluru hidup dalam satu sampul surat yang dialamatkan kepada seorang penyelia di satu bahagian di syarikat berkenaan.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, polis bantuan berusia 54 tahun itu yang sedang bertugas menerima sampul surat berwarna coklat yang dihantar sebuah syarikat pos sebelum berasa curiga dengan kandungan surat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail, berkata anggota berkenaan kemudiannya membuka surat berkenaan untuk memeriksa walaupun ia dialamatkan kepada penyelia di syarikat itu sebelum terkejut mendapati terdapat enam butir peluru hidup di dalamnya.

Beliau berkata anggota polis bantuan berkenaan yang bimbang dengan keselamatan pekerja di syarikat berkenaan selepas menerima peluru berkenaan kemudiannya membuat laporan polis.

Katanya, siasatan awal mendapati peluru berkenaan adalah jenis yang digunakan untuk revolver dan siasatan lanjut berkenaan penemuan peluru itu sedang dijalankan.

“Polis masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 506 Kanyn Keseksaan,” katanya- berita harian