KOTA KINABALU: Polis masih mengesan saki baki kumpulan Abu Sayyaf susulan tangkapan tujuh anggota kumpulan itu di beberapa lokasi di negeri ini, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata usaha untuk mengesan semua yang terbabit dalam kumpulan pengganas diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang ada.

“Berdasarkan maklumat, memang ada usaha mengesan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia diteruskan sebab ada maklumat mereka (saki baki anggota) masih bebas.

“Masih ada lagi yang diburu tetapi kita tak dapat berikan jumlahnya,” katanya ketika ditemui media selepas program Komuniti Kepolisian Bersama Pesuruhjaya Polis Sabah di Balai Raya Kampung Tanjung Aru di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau dalam pada itu meminta orang ramai tidak terlalu bimbang dengan tangkapan itu yang kebanyakannya berlaku di Sabah kerana anggota pengganas berkenaan tidak akan mendedahkan identitinya.

“Saya menyeru orang awam jangan bimbang kerana mereka yang terbabit dengan kumpulan pengganas IS atau DAESH antara yang cuba menyembunyikan diri daripada dikesan melakukan aktiviti itu.

“Aktiviti mereka boleh dikatakan domain dan mereka ini sebelum ini terbabit aktiviti itu di negara jiran,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan medianya semalam mendedahkan tujuh individu warga Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Sabah antara 30 Oktober hingga 12 November lalu dengan tangkapan dibuat di Tenom, Kinarut dan Ranau.

Terdahulu, ketika ditanya berhubung kejadian kes tembak yang dipercayai berlaku di perairan Sandakan semalam, Omar menafikan kejadian itu berlaku di Sabah.

“Itu bukan kes penculikan, itu kes tembak tetapi bukan berlaku di negara kita. Itu di perairan negara jiran,” katanya – berita harian