SUNGAI SIPUT: Polis tidak mempunyai kuasa untuk menutup kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail di Gopeng, daripada kunjungan orang awam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh abang Mohammad Ashraf yang mahu lokasi pencarian itu ditutup kepada orang awam.

Katanya, walaupun sudah menerima laporan, pihaknya tidak ada kuasa untuk melarang orang awam daripada keluar masuk ke lokasi itu.

“Kita ada terima laporan namun kita tidak boleh sekat orang awam daripada memasuki kawasan ini kerana laluan tikus terlalu banyak, bukan satu tempat sahaja.

“Malah, kita turut menjangkakan orang tempatan juga (melalui kawasan itu) kerana operasi pencarian turut dibantu oleh masyarakat tempatan membabitkan kira-kira 800 orang,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, hari ini.

Mohammad Ashraf Hassan.
Razarudin (tengah) menyaksikan Rozeni (kiri) menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput kepada Mohd Khaizam di Sungai Siput, hari ini. – NSTP/Farah Suhaidah Othman

Pada majlis itu, Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Superintendan Rozeni Ismail yang bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Telekomunikasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Razarudin berkata, pihaknya tidak berupaya menutup lokasi pencarian berikutan kawasan berkenaan adalah tumpuan rekreasi selain lokasi itu adalah kawasan perkampungan.

“Namun begitu, kita akan tentukan orang awam yang keluar masuk itu menerusi kebenaran polis sama ada mereka boleh masuk atau tidak.

“Mungkin mereka boleh masuk sebelah siang tetapi polis tidak benarkan pada waktu malam,” katanya – Berita harian