JAKARTA: Penyiasat antirasuah Indonesia bercadang menyiarkan keputusan siasatan yang dilakukan sendiri mengenai serangan asid tahun lalu selepas polis gagal menyelesaikan kes itu.

Serangan berkenaan menyebabkan beliau hampir buta.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia, Novel Baswedan, menjalani beberapa pembedahan pada mata sejak asid disimbah ke mukanya ketika beliau berjalan pulang ke rumah dari masjid pada April 2017.

Serangan mengejutkan itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka yang cuba memerangi gejala rasuah di negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

“Saya yakin serangan ini ada kena mengena dengan kes rasuah yang saya kendalikan,” kata Baswedan kepada taklimat yang dianjurkan Kelab Wartawan Asing Jakarta semalam.

Beliau enggan mengulas lanjut tetapi berkata satu kes ada kaitan dengan jeneral polis.

Siasatan polis setakat ini gagal mendedahkan penyerang atau dalang serangan, walaupun Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menggesa ia diselesaikan secepat mungkin.

“Pada awalnya, saya menyokong penuh siasatan dilakukan anggota polis supaya mereka boleh menangani kes ini dan mencari penjenayah itu secepat mungkin.

“Kemudian saya sedar mereka tidak serius mengendalikan kes saya,” katanya, yang pernah menjadi penyiasat polis sebelum menyertai KPK.

Baswedan berkata, siasatan sendiri mengenal pasti ‘dalang sebenar serangan’ malah mendedahkan kejanggalan dalam siasatan polis, merujuk kepada penghapusan rakaman kamera keselamatan dan mengugut saksi. — Reuters