IPOH: Polis Perak telah menolak permohonan pihak penganjur bagi mengadakan program perbahasan antara mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dijadual diadakan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kuala Kangsar pada 25 Mac ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan DCP Hasnan Hassan, permohonan itu yang dikemukakan oleh seorang wakil penganjur dari Kumpulan Karangkraf pada 20 Mac jam 3 petang telah ditolak oleh Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ahmad Termizi Abd Haq atas faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Katanya, pihak polis memberi empat alasan penolakan permohonan tersebut iaitu pertama lewat mengemukakan permohonan sepertimana dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada Ketua Balai Polis Daerah 10 hari
sebelum perhimpunan.

Kedua, katanya, tempat perhimpunan yang dipilih iaitu MRSM KualaKangsar adalah kawasan sekolah dan ianya merupakan satu tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3APA 2012).

Katanya, alasan ketiga pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan yang akan diadakan.

“Mereka amat bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga dan ini merupakan bantahan dari orang-orang yang berkepentingan dalam APA 2012.

“Alasan keempat ialah Jadual Ketiga APA 2012 jelas menyatakan perhimpunan dan dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan,” kata Datuk Hasnan melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak supaya akur kepada arahan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ianya diteruskan tanpa mengikut undang-undang yang ditetapkan.