IPOH – Polis berjaya menumpaskan Geng Tangki dengan menahan dalangnya merupakan etnik Rohingya berusia 27 tahun sekali gus berjaya menyelesaikan tiga kes samun stesen minyak membabitkan kerugian dianggarkan RM3,500 sekitar Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya turut menahan dua lagi ahli geng berusia 23 dan 25 tahun sekitar Manjoi pada 29 Mei lalu dan merampas pelbagai peralatan termasuk senjata seperti pedang samurai, sabit dan pisau.

“Hasil siasatan mendapati geng ini bertindak dengan menaiki motosikal telah menyasarkan premis-premis yang beroperasi 24 jam termasuk stesen minyak dan samun wang tunai serta rokok.

“Ahli kumpulan itu turut menggunakan pita pelekat pada jari masing-masing bagi mengelakkan kesan cap jari ketika melakukan jenayah itu. Kita turut merampas antaranya pelbagai jenama telefon bimbit, jaket, topi keledar dan dua motosikal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati salah sebuah motosikal berkenaan dilaporkan dicuri di Sungai Besar.

“Kesemua mereka mendapat perintah reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Chang Keong berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Shafiq Soleehin Yusny atau dikenali sebagai Shafiq, 22, yang mempunyai alamat terakhir di Menglembu untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mengenali Shafiq boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Leow Pei Theen di talian 016-4146721 atau menghubungi mana-mana balai berhampiran,” katanya

-SinarHarian