KAMPAR: Polis menumpaskan Geng Vicky yang aktif melakukan pecah rumah sebelum melarikan pelbagai jenis barangan berharga bernilai hampir RM400,000 milik seorang kontraktor di kawasan perumahan Mambang Di Awan, dekat sini awal Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Ng Kong Soon, bertindak hasil maklumat dan risikan pada 10 Januari lalu, sepasukan polis menahan tiga lelaki di Kampar dan ketua kumpulan itu yang dikenali dengan panggilan Vicky di Johor Bahru pada 26 Februari.

Katanya, semua suspek yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap menjadikan rumah-rumah tidak berpenghuni di sekitar Kampar dengan cara mengumpil pintu dan mengambil barang-barang berharga.

Selepas itu, kata beliau, mereka akan menggadai barang-barang berharga itu di kedai-kedai pajak gadai.

“Polis berjaya menemui semula sebahagian barangan berharga yang dicuri itu hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek-suspek itu,” katanya kepada pemberita di pejabat Polis Daerah Kampar pada Isnin.

Menurut Ng, polis juga masih memburu tiga lagi anggota geng itu yang masih bebas dan kini sudah mengetahui identiti mereka.

Katanya, dengan penangkapan empat suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan kes kecurian motosikal serta kereta di daerah Kampar.