JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan hidupan liar dilindungi, susulan tangkapan lima lelaki tempatan dan rampasan bernilai kira-kira RM1 juta, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menyerbu dua rumah masing-masing satu di Taman Johor Jaya dan Ulu Tiram di sini.

Katanya, serbuan itu membolehkan 37.3 kilogram anggota beberapa hidupan liar seperti harimau, landak dan gajah dirampas.

“Serbuan pertama di Taman Johor Jaya di sini kira-kira jam 6 petang, Khamis membolehkan empat lelaki berusia 29 hingga 72 tahun ditahan bersama empat bungkusan mengandungi tulang, tengkorak dan anggota badan hidupan liar seberat 13.8 kilogram.

“Serbuan kedua di Ulu Tiram di sini, pada jam 6.10 petang hari sama, menahan seorang lelaki berusia 71 tahun dengan 11 bungkusan seberat 23.5 kilogram mengandungi tulang, tengkorak dan bahagian hidupan liar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Jamalun Nasir Ibrahim.

Antara bahagian hidupan liar yang dirampas adalah tengkorak dan tulang dipercayai harimau – lapan ekor, sepasang gigi harimau, tiga taring harimau, lima batu hempedu landak, 21 hempedu beruang, dua tanduk banteng, satu tanduk kambing gurun dan dua pasang tanduk hidupan liar lain.

Menurut Zulkifli, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak 2010 dan pihaknya percaya Malaysia Malaysia dijadikan negara transit untuk membawa masuk bahagian hidupan liar dari Indonesia sebelum diseludup ke China.

“Sindiket ini berpangkalan di Johor dan dipercayai mempunyai rangkaian dengan penjenayah hidupan liar negara jiran. Sindiket ini membawa masuk secara haram ke Malaysia yang kemudian diseludup keluar.

“Kita percaya bahagian hidupan liar ini akan digunakan untuk tujuan perubatan dan perhiasan,” katanya.

Zulkifli berkata, tangkapan itu yang kedua terbesar, tahun ini selepas kejayaan sama di Grik, Perak.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan China untuk menyiasat kegiatan begini lebih lanjut, selain terus bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kelima-lima suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya – berita harian