IPOH 22 Feb. – Polis sedang menunggu keputusan laporan patologi sampel air kencing dari Jabatan Kesihatan negeri bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian sebuah restoran di Teluk Intan yang disyaki meletakkan bahan khayal dalam masakan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, keputusan laporan ujian urin itu diperlukan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua sampel rempah-ratus yang digunakan pemilik restoran itu juga telah diambil Jabatan Kesihatan untuk dianalisis.

“Restoran itu disyaki meletakkan kas-kas di dalam makanan untuk menyedapkan masakan. Rempah kas-kas ini memang dibenarkan untuk dibawa masuk dan penggunaannya dalam masakan.

“Bagaimanapun, sekiranya rempah itu diletakkan berlebihan atau bercampur dengan daun dan batang popi yang bergetah, maka ujian saringan air kencing mereka yang memakan hidangan itu akan positif dadah jenis opiat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.20 pagi kelmarin, sebuah restoran di Jalan Raja dekat Teluk Intan diperiksa setelah beberapa pelanggannya mendakwa berasa lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama pegawai Jabatan Kesihatan itu turut merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih.

Terdahulu, mesej yang mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota gagal ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis di sini dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, tular di laman sosial.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya terdapat tangkapan suspek kes dadah selepas ini, mereka akan disiasat terlebih dahulu sama ada mempunyai kaitan dengan restoran tersebut.

Katanya, ia bagi memberi keadilan kepada semua pihak sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Selalunya apabila tangkapan kes dadah dibuat, kita memang ada sasaran yang kita tahu adalah penagih. Cuma untuk keadilan, kita akan siasat mereka terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Razarudin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan pemeriksaan dan rampasan di restoran-restoran yang menggunakan rempah kas-kas dalam masakan. – UTUSAN ONLINE