IPOH – Satu polisi baru bagi pengambilan pekerja asing ke negara ini akan diumumkan Selasa depan, kata Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran.

Katanya polisi baru itu merupakan penambahbaikan kepada polisi sedia ada.

Beliau berkata keputusan itu penting bagi mengelakkan sebarang bentuk dominasi dari orang tengah selain mengimbangi jumlah pekerja asing dan tempatan.

“Kita ada berita baik yang akan diumumkan oleh Kerajaan Selasa depan berkenaan isu ini, ada polisi baharu yang akan diumumkan khususnya buat pekerja ini.

“Sasaran kita ialah tidak boleh melebihi 15 peratus pekerja asing berbanding tempatan yang bekerja di Malaysia, kalau 100 orang pekerja bermakna hanya kita benarkan 15 orang pekerja asing.

“Tapi kita tahu di Malaysia sendiri, dari segi undang-undang yang ada pas kerja mungkin 15 peratus tetapi yang lebih itu adalah yang pekerja yang tidak dibenarkan atau tidak mendapat pas dan sebagainya,”ujarnya.

Kula berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program kayuhan Basikal “Ride with the Boss” Sambil Mempromosikan Kebersihan Bandar Raya Ipoh di Kinta Riverwalk, di sini pada Sabtu.

Yang turut sama Pengerusi Ipoh City Watch dan Kohijau, Prof. Dr. Richard Ng.

Jelasnya perbincangan berkenaan isu ini bertujuan untuk mengetahui sejauh mana keperluan pekerja asing di negara ini.

“Kita tidak ada halangan (kemasukan pekerja asing) tetapi masalahnya orang tengah yang memonopoli, Selasa ini Kementerian saya akan bincang bersama Kementerian Dalam Negeri tentang isu pekerja asing secara keseluruhan.

“Dasar itu penting kerana kita perlu tahu kenapa kita perlu pekerja asing, apakah asas dan di mana keperluannya, adakah pekerja asing boleh menjadi peguam, ini antaranya.

“Ada beberapa sekatan yang kita akan cadangkan di mana Kerajaan dapat lihat perkara tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Nepal dilaporkan menyekat rakyatnya untuk datang ke Malaysia berkuatkuasa serta merta kerana tidak gembira dengan peraturan Jabatan Imigresen negara ini yang ketat terhadap pekerjanya sebelum diambil bekerja.

Ia termasuk monopoli daripada syarikat swasta bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan dan kesihatan sebagai sebahagian keperluan visa.