MANJUNG – Sudah menjadi polisi kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyusahkan golongan peniaga terutama peniaga kecil, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya malah kerajaan akan sentiasa mencari jalan memudahkan golongan ini berniaga bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Beliau memberikan contoh bantuan kioks Amanjaya yang diberikan secara percuma serta pinjaman micro kredit YBU kepada peniaga-peniaga kecil.

Katanya kedua-dua inisiatif ini yang diperkenalkan kerajaan negeri terbukti berkesan membantu rakyat meningkatkan ekonomi keluarga di negeri ini.

“Saya nak sebutkan jangan bagi orang susah nak berniaga.

“Kepada yang nak berniaga yang nak buat pisang goreng, saya fikir bagaimana nak tolong ramai lagi supaya yang boleh berniaga.

“Kita gunakan pendekatan untuk bagi kiosk. Ini contoh bagaimana kerajaan negeri membantu rakyat Perak,” ujar beliau semasa ucapan perasmian di Majlis Makan Malam Peniaga-Peniaga Kecil Daerah Manjung Bersama Menteri Besar Perak di Dewan EMV Seri Manjung, di sini.

Turut hadir ialah isteri menteri besar, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pegawai Daerah Manjung dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Mohd Faris Mohd Hanif.

Dr Zambry yang juga ADUN Pangkor berkata Perak menjadi tumpuan apabila memperkenalkan kiosk kepada para peniaga di mana ia adalah idea baru pada ketika itu.

Terdapat wakil daripada negeri-negeri lain yang datang untuk melihat bagaimana ia dilaksanakan.

Kiosk tersebut direka, dibuat dan dihantar kepada para peniaga secara percuma kepada ibu-ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah serta golongan belia yang mahu berniaga.

“Kos satu kiosk berharga RM4,500 dan kerajaan negeri bagi percuma. Dah diberi percuma kenalah jaga elok-elok,” tambah beliau.

Dr Zambry juga menekankan usaha meningkatkan ekonomi golongan bawah perlu dibuat berterusan kerana kerajaan mahu memastikan ianya tidak dimonopoli hanya mereka yang kaya.

Memberi contoh peniaga pisang goreng atau kuih-muih, dimana peniaga memperolehi jualan sebanyak RM100 dengan untung bersih antara RM20 hingga RM30 setiap hari.

“Bayangkan kalau rakyat yang ada dalam negeri Perak ada 10,000 yang dapat berniaga pada satu-satu hari dengan keuntungan sedemikian…berapa banyaknya aktiviti ekonomi yang sedang berjalan dalam negeri Perak pada waktu itu.

“Sewaktu dalam bajet saya ada menyentuh bagaimana dalam dasar ekonomi yang kita rancang perlu ditekankan bukan hanya yang besar (kaya) tetapi juga mesti melibatkan ekonomi rakyat,” kata Dr Zambry.

Beliau juga sempat berpesan kepada kira-kira 1,500 peniaga yang hadir pada majlis itu untuk tidak berhenti berusaha dan jangan kecewa apabila berhadapan dengan turun naik perniagaan.

“Dalam berniaga kita tak boleh kecewa. Dalam Bahasa Inggeris nya dipanggil never give up, never give up and never give up. Hidup ini penuh dengan asam garamnya, penuh dengan naik dengan turunnya.

Orang yang berjaya ialah orang yang sabar ketika dia berniaga, ketika dia berhadapan dengan masalah. Mungkin hari ini kita menangis tapi tangisan itulah yang akan menjadikan azimat kepada kita untuk bangun.”