Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Politik kebencian bukan lagi dilihat sebagai strategi efektif bagi calon-calon bertanding untuk memenangi undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminudin Hanafiah berkata kematangan pengundi pada PRU-14 ini menjadikan politik kebencian seolah-olah sudah tiada tempat dan ditolak.

Menurut beliau ini dibuktikan dengan kempen #undirosak yang tular dan semakin mendapat banyak sokongan rakyat Malaysia.

“Kalau kita tengok gerakan #undirosak… macam mana benda ini boleh jadi?…sebabnya orang dah meluat dengan politik kebencian ini. Kita nak menang pilihan raya dan memegang jawatan kerana ingin berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Maka kempen-kempen kita perlu ketengahkan bagaimana kita nak berkhidmat, bukannya menghasut itu dan ini cetuskan kebencian, buruk-burukkan orang lain.

Bagi saya sendiri, saya nak menumpukan kepada politik berkasih sayang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemeriksaan Mata Untuk Pelajar-pelajar Sekolah Negeri Perak di Dewan SJKT Tanjung Rambutan pada pagi Khamis.

Ketika ditanya mengenai kerusi Parlimen Tambun yang diketuai antara kerusi ‘panas’ kerana menjadi sasaran parti pembangkang, Aminudin berkata hakikat itu hanya mencerminkan bahawa sistem demokrasi di Malaysia hidup subur.

Jelasnya, beliau mengalu-alukan kehadiran calon daripada mana-mana parti yang ingin bertanding di Parlimen tersebut.

Katanya ura-ura bahawa pembangkang mahu meletakkan calon PKR bagi kerusi Parlimen Tambun langsung tiada menggangu fokusnya melaksanakan kerja-kerja wakil rakyat seperti biasa.

“Kalau kita masuk politik, kita takut cabaran, lebih baik berhenti politik, apabila kita memegang jawatan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai kita, kerana kita tak boleh buat janji tetapi tidak kotakan. Ini cari masalah namanya.

“Kita buat dalam kemampuan dan kapasiti kita, pada saya UMNO Tambun

tak perlu takut kepada cabaran daripada mana-mana parti politik.

“Tak ada rasa tercabar,”katanya lagi.

Sementara itu, Aminudin berkongsi pengalamannya selepas mengambil alih tugas Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Tambun.

“Setiap pemimpin mempunyai cara mereka masing-masing. Sememangnya ia merupakan satu jawatan dan tanggungjawab yang begitu besar untuk digantikan, apatah lagi beliau pernah menjawat jawatan Menteri.

“Tapi beliau juga bermula dari bawah seperti saya, jadi kenapa perlu risau, itu bermakna semua orang melalui proses yang sama untuk naik tangga kepimpinan.

“Ianya merupakan satu cabaran untuk saya mencuba yang terbaik, dan menjadi yang lebih baik,”katanya lagi.

Jelasnya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada meletakkan beliau sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Hulu Kinta atau bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun.