IPOH: Polis Perak berjaya menyelamatkan lima lelaki warga Thailand yang dipercayai dipaksa menjadi pengemis di sekitar bandar raya ini dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tanjung Rambutan, dekat sini pada Selasa.

Turut ditahan di dalam serbuan itu ialah seorang lelaki warga Thailand berusia 36 tahun yang dipercayai penjaga kepada lima mangsa berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, mangsa berusia antara 18 hingga 28 tahun itu berasal dari Narathiwat dan dibawa masuk ke negara ini 11 bulan lalu.

Katanya, mereka mendakwa dipaksa mengutip derma daripada orang awam sehingga 12 jam sehari.

“Seorang mangsa telah diselamatkan dalam Ops Pintas di Gunung Rapat. Maklumat daripadanya membawa kepada penemuan rumah di mana empat lagi mangsa dan seorang penjaga berada.

“Semua mangsa mengaku meminta derma di kawasan Ipoh dan bazar-bazar ramadan untuk membangunkan masjid di Narathiwat dan mangsa diberi upah RM20 sekiranya mengutip RM100.

“Sekiranya mangsa tidak dapat kutip RM100 sehari, mangsa tidak diberi makan,” katanya beliau ketika dihubungi.

Beliau memberitahu hasil siasatan juga mendapati mangsa dibawa mask ke negara ini oleh penjaga tersebut bersama-sama seorang lelaki bergelar Ustaz atau Pok Teh.

“Penjaga juga mengaku mendapat RM2,000 sebulan dari Pok Teh kerana menjaga dan menguruskan mangsa.

“Dia mengaku bekerja dengan dua orang lagi lelaki senegara yang kini sedang dikesan kerana dipercayai beroperasi di sekitar Lembah Klang,” jelas beliau.

Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM924, lima telefon bimbit, 5 buah passport, resit kutipan ikhlas Masjid Nurul Huda, sebuah kereta Volvo serta pelbagai barangan dan peralatan untuk mengemis.