ALOR SETAR: Tiga wanita dan seorang pondan warga Thailand bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dalam Op Gegar di kafe Taman Damai, Padang Serai, Kulim, Rabu lalu.

Tiga wanita berkenaan berjaya ditahan, manakala pondan terbabit dijumpai bersembunyi di belakang almari sebuah bilik di aras dua premis tiga tingkat itu.

Tempat persembunyiannya dikesan selepas Jabatan Imigresen Kedah menjumpai beg tangan dalam loker dipercayai milik pondan itu.

Pemeriksaan awal mendapati semua wanita dan pondan berusia lingkungan 30-an itu melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di kafe berkenaan.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi tiga jam bermula jam 12 tengah malam itu, pihaknya turut menahan 19 warga asing pelbagai warganegara yang melakukan kesalahan imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki dan dua wanita warga Thailand, empat lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, tiga lelaki Pakistan, dua lelaki India dan dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar, berusia antara 13 tahun dan 46 tahun.

“Semasa pemeriksaan di sebuah cafe, kami menjumpai bilik rahsia dipercayai tempat persembunyian warga asing bagi mengelak diberkas anggota penguat kuasa.

“Sementara serbuan di restoran pula, didapati mereka menggunakan khidmat 14 pekerja warga asing, yang melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.

Zuhair berkata, pemeriksaan awal mengesan semua warga asing terbabit melakukan kesalahan seperti tiada pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa dalam negara dan melanggar syarat pas diberikan.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk tindakan lanjut – berita harian