IPOH 21 Julai – Pondok Kadir Al-Jaafar di Gua Tempurung dekat sini yang diserbu pihak penguat kuasa baru-baru ini diminta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memudahkan pusat pengajian agama itu dipantau dan diberikan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, pendaftaran tersebut juga memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan secara teratur mengikut status sebenar operasinya.

Menurutnya, bagaimanapun Pondok Kadir Al-Jaafar gagal membuat pendaftaran sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti tapak operasi sehingga bantuan sukar untuk diberikan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sudah nasihatkan supaya pondok ini didaftarkan dengan JAIPk sebagai tempat pengajian dan ada syarat-syarat yang kena mereka ikuti.

“Difahamkan kerajaan sebelum ini telah mengenalpasti satu tapak untuk mereka berpindah bagaimanapun pengurusan pondok keberatan untuk berpindah dan kini ia menjadi satu masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman di Manjoi dekat sini hari ini.

Pondok berkenaan diserbu beberapa agensi penguat kuasa ketika para pelajarnya sedang belajar baru-baru ini dan kejadian itu tular dalam laman sosial sehingga Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu meminta laporan mengenai kes itu. – UTUSAN ONLINE