IPOH, 12 Jan (Bernama) — Koloni Karyawan Amanjaya atau dikenali sebagai PORT bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun di sini dalam mencungkil bakat baharu di kalangan pelajar dalam bidang seni muzik.

Pengurus Besar PORT Zamari Muhyi berkata dalam memastikan hasrat itu tercapai, PORT telah memberi sumbangan hampir RM10,000 dalam bentuk barangan dan peralatan.

“Kerjasama yang terjalin sejak 2014 itu, PORT telah membantu pihak sekolah menghantar kumpulan nasyid sekolah ini mewakili negeri Perak ke Pertandingan Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan dan berjaya mendapat tempat keempat. Manakala pada tahun 2015, sekolah ini berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan sama.

Pada tahun lepas, hasil jalinan kerjasama itu dapat mewujudkan ‘Perak Junior Percussion’ yang terdiri daripada lima orang pelajar sekolah ini dan telah mengadakan banyak persembahan termasuk pada ‘Ipoh Picnic Day’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Keyboard dan Jalinan Antara PORT dan Sekolah Kebangsaan Tambun, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Zamari telah menyerahkan sebuah keyboard jenis Korg Pa600MY yang berharga lebih RM5,000 kepada pihak sekolah yang diterima oleh Guru Besarnya, Che Waa Saad.

Ketika ditanya pemberita sama ada PORT bersedia untuk mengadakan jalinan ke sekolah lain, beliau berkata perkara itu masih dalam peringkat perancangan.

“Kita ada berbincang mungkin pada peringkat seterusnya kita fokus kepada kumpulan pancaragam kerana pada tahun ini Perak akan menjadi tuan rumah untuk pertandingan pancarangan peringkat kebangsaan.

Jadi di situ kita nak lihat mana bakat-bakat berharga anak Perak untuk diketengahkan,” katanya.

— BERNAMA