TAIPING – Keterujaan kumpulan samseng jalanan ‘merempit’ di Jalan Kamunting-Taiping(Yawata) dan jalan berhampiran Plaza Tol Kamunting, di sini terbantut apabila ‘port’ mereka diserbu polis melalui Ops Samseng Jalanan di dua lokasi itu tengah malam tadi.

Susulan itu, 20 motosikal disita, manakala 115 saman dikeluarkan polis dalam operasi yang diadakan bermula jam 12 tengah malam dan berakhir 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping,Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, operasi khas tersebut melibatkan 42 anggota dari cawangan Trafik Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjan Perak (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) seluruh Perak.

Menurutnya, hasil operasi itu membolehkan 108 motosikal dan tujuh kereta disaman atas pelbagai kesalahan, termasuk dua kesalahan melibatkan penunggang bawah umur.

“Mereka ditahan berusia antara 16 hingga 28 tahun dan jumlah saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 40 kes.

“Kesemua motosikal ditahan dibawa ke IPD Taiping dengan menggunakan lori untuk tindakan susulan, manakala sebanyak 20 motosikal disita,” katanya.

Mohamad berkata, kesemua kes disiasat dibawah Seksyen 64 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – sinar