IPOH: Laluan saluran paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta sepanjang kira-kira 160 kilometer berpotensi untuk membantu membangunkan kawasan industri baru di sepanjang jajaran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, buat masa ini terdapat beberapa kawasan industri di laluan itu yang memerlukan sedikit penambahbaikan.

Beliau memberitahu, antara penambahbaikan itu ialah pembesaran jalan, pembinaan jambatan, longkang dan beberapa kemudahan sampingan lain.
“Sebab itu kerajaan negeri luluskan bajet RM100 juta untuk tahun hadapan (di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) dan salah satu item utama selain daripada perumahan rakyat ialah pembangunan infrastruktur untuk kawasan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Bengkel Mengenai Pembungkusan Plastik Fleksibel & Pemadanan Perniagaan di Meru Valley Resort dekat sini pada Selasa.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika membentangkan Bajet 2017 bernilai RM1.2 bilion, turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM180 juta untuk projek sambungan saluran paip gas asli dari Ayer Tawar di Manjung ke Lembah Kinta yang akan bermula tahun hadapan.

Zahir memberitahu, kerja-kerja awal tanah untuk projek itu telahpun dimulakan dan pelancarannya dijangka diadakan pada Disember atau Januari hadapan.

Beliau yakin, dengan adalah saluran paip gas asli itu, ia mampu menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi FMM Perak, Datuk Gan Tack Kong juga yakin lebih ramai pelabur akan datang ke Perak kerana harga gas asli lebih murah lebih tiga kali ganda daripada diesel.

Beliau memberitahu, terdapat sebuah syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka memang mengharapkan bekalan gas itu untuk membesarkan lagi kilang mereka dengan pelaburan tambahan kira-kira RM35 juta.

“Kilang ini yang akan menawarkan kira-kira 250 peluang pekerjaan baru juga memerlukan gas asli bernilai RM25 juta setahun untuk operasi mereka,’’ katanya di dalam sidang media yang sama.