GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyampaikan sumbangan RM1,000 untuk setiap keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang mewakili kerajaan negeri menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 kepada Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, Muhammad Tarmizi Md Jaafar.

Jagdeep berkata, wang tersebut adalah sebagai penghormatan kepada anggota bomba yang lemas dalam kejadian berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan takziah dan rasa simpati terhadap semua keluarga mangsa terlibat, kejadian tersebut adalah satu tragedi yang tidak akan dilupakan rakyat Malaysia kerana mereka semua sedang bertugas untuk menyelamatkan orang.

“Saya berharap keluarga mangsa tabah menghadapinya dan saya juga percaya pengorbanan mereka yang kehilangan nyawa sewaktu menjalankan tugas itu amat dirasai oleh semua (rakyat Malaysia),” katanya.

Enam penyelam PPDA JBPM lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu. – BERNAMA