BATU GAJAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah dijangka berkubur setelah lebih 1,000 ahlinya termasuk Ketua Penaja dan ahli jawatankuasanya sebulat suara meninggalkan parti itu.

Bekas Ketua Penaja PPBM Batu Gajah, Mohd. Shirin Adenan berkata, ia adalah tanda protes terhadap pelantikan Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi PPBM Perak yang disifatkan mereka sebagai tidak layak.

Katanya, majoriti pemimpin bahagian di Perak juga tidak berpuas hati dengan barisan kepemimpinan tertinggi PPBM negeri pada ketika ini yang dilihat lemah, tidak pandai menjaga kebajikan ketua penaja bahagian dan ahli akar umbi.

“Pelantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PPBM Perak semata-mata atas sebab dia orang Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) benar-benar membuka mata kami bahawa parti ini sebenarnya tidak sebaik seperti yang diharapkan.

“Ketiadaan pengalaman beliau untuk menerajui sebuah parti baharu selain hubungannya yang sangat terbatas membuatkan PPBM Perak tidak ubah seperti sekumpulan anak ayam kehilangan ibu.

“Kami tidak yakin Ahmad Faizal mampu menerajui Pakatan Harapan Perak dan kami menjadi bingung mengapa pemimpin-pemimpin lebih pengalaman tidak dipilih menerajui negeri ini,” katanya pada satu sidang khas di sini pada Selasa.

Tambah Mohd. Shirin, selain krisis kepimpinan di peringkat negeri, isu membabitkan status pendaftaran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) sebagai sayap PPBM turut menjadi sebab keputusan keluar parti itu diambil.

“Sesuatu yang sangat mengecewakan apabila isu yang melibatkan perlembagaan parti pun tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan, hanya diam seribu bahasa.

“Kami berharap dengan tindakan kami keluar parti dan meletak jawatan secara beramai-ramai ini akan memberikan kesedaran dan keinsafan di kalangan pemimpin atasan supaya lebih peka terhadap masalah dalaman parti,” ujarnya.

Mohd Shirin menjadi Ketua Penaja Bahagian PPBM keempat di Perak yang meninggal parti itu selepas Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar.