BUKIT MERAH: Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu boleh memberi kepercayaan penuh kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengambil alih peranan UMNO di dalam membela dan melindungi mereka.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi perakuan bahawa PPBM tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan UMNO yang telah lari daripada perjuangan asal untuk agama, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai rakyat mendaftar sebagai ahli PPBM sekaligus menjadikannya sebuah parti yang besar dan kuat.

“Insya allah, di masa-masa yang hadapan, kita akan menjadi lebih besar dan lebih kuat lagi daripada sekarang.

“Bukanlah niat kita untuk bersaing dengan parti- parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang lain tetapi amatlah penting, kita juga sama kuat dengan parti-parti lain dalam pakatan harapan, insya Allah, inilah harapan kita,” katanya.

Beliau berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM 2018 di Laketown Resort, Bukit Merah, Perak pada Jumaat yang dihadiri lebih 20,000 orang, termasuk Presiden PPBM, Tan Sri Muhyidin Yassin dan beberapa menteri kabinet.

Tun Mahathir berkata, PPBM berterima kasih kepada pakatan harapan kerana memberi peluang kepada pemimpin parti itu memegang jawatan perdana menteri, walaupun mereka hanya memenangi 13 kerusi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau yang juga Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan PH akan memastikan kekayaan negara dikongsi semua kaum dengan cara dan urusan yang baik dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan antara kaum di negara ini.

Sempena program tersebut, sebanyak RM750,000 berjaya dikumpulkan untuk Tabung Harapan Malaysia daripada pelbagai pihak dan orang perseorangan.

1/9