PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sepenuhnya pelantikan barisan jemaah menteri kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin yang sebelum ini dinamakan sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, beliau juga sudah menyerahkan cadangan nama iaitu wakil daripada PPBM yang bakal mengetuai beberapa kementerian sama ada sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Jumlah Ahli Parlimen daripada PPBM tidak besar. Kita hanya ada 13 Ahli Parlimen termasuk Tun Dr Mahathir, saya dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Sebagaimana dikehendaki Tun Dr Mahathir, kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mempertimbang supaya perwakilan PPBM dalam kerajaan dilihat berperanan,” katanya kepada media di luar perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, hari ini.

Ditanya bila Tun Dr Mahathir akan mengumumkan senarai menteri berkenaan, Muhyiddin berkata, perkara itu juga terserah kepada Perdana Menteri.

“Terserah kepada Tun Dr Mahathir, saya difahamkan parti lain juga sudah serahkan dan kemukakan cadangan nama menteri dan timbalan menteri masing-masing.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, Tun Dr Mahathir akan mempertimbangkan nama (jemaah menteri) berkenaan.

“Bagi saya amat penting proses pembentukan jemaah menteri perlu disegerakan. Kita banyak kerja nak dilakukan, malah harapan rakyat juga tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sudah diberi mandat yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan rakyat mahu lihat adakah kerajaan yang dipilih betul-betul bekerja untuk rakyat – berita harian