IPOH: Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Perak(PPIM) berjaya mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records menerusi Penyertaan Perkhemahan Teramai di Kem Kota Layang-Layang Kiri, Parit pada 30 November 2016.

Penyerahan sijil tersebut disampaikan oleh wakil The Malaysia Book Of Records, Siti Hajar Johor kepada Pengerusi PPIM Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Sabtu.

Pengiktirafan yang diperoleh melalui penganjuran Misi Amal Hari Puteri Peringkat Kebangsaan itu mendapat penyertaan seramai 1,0004 orang.

Saripah di dalam ucapan berkata, jumlah itu merangkumi penglibatan dari 14 kontinjen seluruh negara.

“Selaku Pengerusi PPIM, saya sangat berbangga dengan pencapaian ini, bukan sahaja menerusi pengiktirafan yang kita peroleh tetapi juga dengan kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan setiap program,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PPIM Perak, Noor Lida Mohd Yusuf berkata, selain didedahkan kepada pelbagai asas pembelajaran di luar kelas, peserta turut berpeluang meningkatkan skil diri masing-masing.

“Menerusi 14 kontinjen yang terlibat, ia sememangnya satu penganjuran yang tidak diduga sambutannya sehingga kami diikftiraf hari ini.

“Selain perkhemahan dan kawad, peserta juga berpeluang meninjau cara hidup masyarakat pribumi seperti di Chenderung Kelubi dan Suak Padi,” kata beliau.