TELUK INTAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu berani menceburi bidang perniagaan baharu dan tidak hanya bergantung kepada perniagaan tradisional seperti mengusahakan ladang kelapa sawit dan menjual baja.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, mereka juga boleh mengusahakan pelbagai aktiviti pengeluaran makanan bagi membantu merealisasikan hasrat untuk mengurangkan import makanan.

Beliau memberi contoh, bidang yang boleh diceburi ialah ternakan ayam secara moden, kambing dan ikan dalam sangkar.

“Setakat ini saya masih belum berpuas hati peranan yang dimainkan oleh PPK,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-38 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik / Labu Kubong di Dewan Parit 6, Chenderong Balai di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu Tajuddn turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan PPK Sungai Manik/Labu Kubong lebih RM91,000 oleh pengerusinya, Suib Sulaimen kepada wakil Majlid Agama Islam Perak (MAIPk).

Menurut Tajudin, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak PPK Sungai Manik/Labu Kubung, purata pendapatan ahli-ahli mereka hanyalah antara RM1,5000 – RM2,000 sebulan.

“Sasaran kita, apabila menjadi sebuah negara maju, purata pendapatan ialah RM4,000 sebulan dan apa yang ada sekarang masih jauh sedangkan sasaran negara maju tiga tahun lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Suib berkata, pihaknya akan mengambil langkah untuk membantu petani di kawasan Sungai Manik / Labu Kubung, khususnya ahli-ahli PPK menambah pendapatan mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, usaha itu juga mesti mendapat kerjasama sepenuhnya daripada para petani dan 4,650 ahli PPK sendiri.