IPOH: Dalam keadaan ekonomi yang muram ketika ini, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh mahu mempelopori semula Kempen Bumi Hijau yang telah diperkenalkan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Pengerusi PPK Tambun Bandaraya Ipoh, Datuk Nadzri Ismail berkata, antara usaha yang akan dilaksanakan ialah kempen menukar tanaman bunga kepada sayur-sayuran dengan menggunakan teknologi terkini.

Menurut beliau, teknologi hijau itu tidak memerlukan kawasan yang luas dan boleh diusahakan dengan penggunaan semula bekas-bekas terpakai seperti botol dan plastic.

“Beberapa ahli kami mempunyai kepakaran dalam bidang ini dan mereka telahpun memulakannnya di beberapa buah rumah serta sekolah,” katanya kepada Suara Perak selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua unit dalam PPK Tambun Bandaraya Ipoh di sini.

Nadzri berkata, selain daripada mewujudkan alam sekitar bandaraya yang hijau, usaha itu juga boleh menjimatkan kewangan rakyat dan juga boleh menambah pendapatan mereka.

“Peningkatan berterusan harga makanan di pasaran dunia mendorong kami untuk mempelopori semua kempen bumi hijau, setidak-tidaknya bagi penggunaan sendiri,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha itu juga selaras dengan imej baru pertubuhan peladang berkenaan berikutan bertukaran nama daripada PPK Hulu Kinta kepada PPK Tambung Bandaraya Ipoh, baru-baru ini.

Rancangan Buku Hijau yang diperkenalkan pada Disember 1974 ternyata berkesan dalam mengurangkan kadar inflasi menerusi peningkatan pendapatan rakyat menerusi penglibatan dalam bidang pertanian secara sambilan atau sepenuh masa.

Ia lebih kepada usaha untuk meningkatkan penglibatan rakyat dalam pertanian dengan bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dijual kepada umum.