TANJUNG RAMBUTAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh mahu menceburi bidang agro-pelancongan sebagai salah lagi projek menambah pendapatan.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, pihaknya telah mengenalpasti kawasan di Kampung Kolam dekat sini, yang berpotensi untuk dijadikan kawasan agro-pelancongan.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti pertanian dan perternakan boleh dilaksanakan di kawasan berkenaan seperti kolam ikan, ternakan lembu dan tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran.

“Kita bercadang mengenakan sedikit bayaran masuk untuk pengunjung melihat aktiviti di dalam kawasan dan mereka juga boleh membeli terus hasil pertanian dan penternakan di situ,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Unit Peladang Tanjung Rambutan di sini.

Nadzri yakin cadangan itu mampu memberi pulangan yang baik, bukan sahaja kepada pertubuhan peladang, malah boleh memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Berdasarkan kepada trend sekarang, orang sudah mula bosan hidup dalam hutan batu dan mereka mula mencari tempat-tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan.

“Malah, anak-anak mereka juga mungkin tidak pernah lihat ayam, lembu, kolam ikan dan ladang sayur-sayuran kerana tinggal dalam hutan batu…merekalah kumpulan sasaran kami,”ujarnya.

Beliau menambah, selain daripada aktiviti penternakan dan pertanian, pihaknya juga bercadang untuk membuka restoran di dalam kawasan berkenaan, yang memasak makanan segar dari ladang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nadzri mahu semua ahli pertubuhan peladang terlibat secara langsung dengan aktiviti yang berkaitan dengan sektor pertanian dan industri asas tani.

Sehubungan itu, beliau meminta semua unit peladang di dalam PPK Tambun Bandaraya Ipoh mengenal pasti ahli-ahli mereka serta aktiviti yang mereka jalankan.