IPOH: Sesuai dengan kedudukannya di dalam bandaraya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh mahu membantu meningkatkan ekonomi usahawan mikro dalam bandar.

Pengerusi PPK Tambun Bandaraya Ipoh, Datuk Nadzri Ismail berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, pihaknya telah merangka pelbagai aktiviti dan program.

Beliau memberitahu, antara program itu ialah kursus penghasilan produk industri asas tani dan kempen bumi hijau.

“Dengan sokongan dan bantuan kerajaan, kita akan cuba mencari jalan untuk bantu mereka menambah pendapatan,” katanya kepada Suara Perak.

img-20170107-wa0001

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kursus pendek penghasilan yogurt, minyak wangi dan sabun basuh pinggan di Dewan Konuniti Kg Tersusun Klebang Selatan, dekat sini pada Sabtu.

Kursus anjuran Peladangnita PPK Tambun Bandaraya Ipoh itu disertai 45 peserta dari sekitar kampung berkenaan.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Nadzri menasihatkan peserta supaya meneruskan usaha mereka untuk terlibat di dalam perniagaan.

“Biarlah kita mula secara kecil-kecilan dahulu, bermula dari bawah, tetapi lama-lama, tidak mustahil kita boleh menjana pendapatan untuk keluarga,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan mereka supaya jangan berputus asa sekiranya gagal di peringkat permulaan, sebaliknya terus bangkit meneruskan usaha masing-masing.

“Gagal kali pertama bukan bermakna kita gagal selama-lamanya, jangan putus asa, bangkit semula, insya Allah akan berjaya akhirnya,” kata beliau.