TAPAH: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah memperkenalkan tanaman lada hitam sebagai satu lagi produk pertanian yang berpotensi untuk dibangunkan di kalangan penduduk setempat.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, yang juga ADUN Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, baru-baru ini.

 

ppk-lada-hitamHadir sama Orang Besar Jajahan Daerah Batang Padang, Datuk Mat Rashid Ayob; Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Nadzri Ismail; Pegawai Daerah Padang Padang, Azizi Aziz; Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Mohd Fauzi Badron dan Pengerusi PPK Tapah, Bawadi Nandar.

Pengurus Besar PPK Tapak, Muhammad Faiz Muhammad Zakaria berkata, projek itu adalah susulan lawatan ke Johor untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan mengenai potensi tanaman berkenaan.

Menurutnya PPK Tapah telah mula menjalankan projek itu dengan permulaan 400 pokok yang akan dijadikan tempat latihan dan lawatan bagi mereka yang berminat.
“Pelancaran projek tanaman lada hitam ini merupakan titik permulaan kepada usaha PPK Tapah dalam mengkomersialkan tanaman berpotensi ini untuk dimajukan dalam skala besar,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau memberitahu, sebagai permulaan, pihaknya yelah menyediakan sebanyak 3,700 anak benih lada hitam untuk menjayakan hasrat pertubuhan peladang itu.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi terus PPK Tapah yang bersedia menjadi pembekal benih, baja dan khidmat nasihat.