TAWAU: Cubaan seorang warga tempatan menyeludup keluar 18 tong gas bersubsidi gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tinagat dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, suspek yang berusia 33 tahun dipercayai cuba menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik di Indonesia.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata tangkapan dilakukan selepas sepasukan anggota PPM yang melakukan rondaan Op Gelora terserempak dengan bot suspek menuju Sungai Nyamuk dari arah Tinagat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek membawa 18 tong gas bersubsidi tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 yang dibaca bersama perkara 3 (1) Peraturan-peraturan 1974,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, suspek bersama bot dan semua barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM daerah di sini, untuk tindakan lanjut.

Katanya, ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan memperketatkan kawalan keselamatan, terutama di kawasan laluan penjenayah rentas sempadan bagi mengekang aktiviti itu berlaku di kawasan ESSZONE – berita harian