JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan tiga lelaki warga Indonesia selepas menemui sepucuk pistol ‘Airsoft Gun’ di atas sebuah bot barter trade dinaiki mereka di perairan Kuala Batu Pahat, Rabu lalu.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, bot terbabit sedang membawa muatan kayu bakau.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang berdaftar di Indonesia itu, anggota PPM Wilayah Dua Muar menjumpai sepucuk pistol jenis ‘Airsoft Gun’.

“Pistol itu yang disimpan tekong bot terbabit di dalam sebuah beg sandang, dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seunit enjin sangkut turut ditemui di atas bot berkenaan.

“Ketika disoal siasat, mereka mendakwa enjin sangkut itu dibawa untuk penyelenggaraan di negara ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, tiga lelaki berusia 27 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Senjata 1960 – berita harian