LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi sedang memburu lapan lelaki yang disyaki melarikan empat nelayan selepas menyamun mereka di tengah laut berdekatan Pulau Langgun di sini, hari ini.

Terdahulu, PPM berjaya menyelamat tujuh nelayan dan menahan empat lelaki bersenjata dalam sebuah bot.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pukat memberitahu botnya terbabit dalam kejadian samun.

Menurutnya, sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, PPM dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati dua bot nelayan tempatan ditahan 12 lelaki warga Thailand yang menaiki dua sampan ekor panjang.

“Dua bot ronda iaitu PSC 49 dan RH9 digerakkan ke lokasi dua minit kemudian diketuai Inspektor Adni Shaari sebelum menemui dua sampan ekor panjang sedang membawa tawanan bot dan nelayan tempatan ke perairan negara jiran pada jam 10.30 pagi.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek memecut laju namun berjaya dipintas oleh bot PSC 49 selepas mengejar hampir 20 minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, PPM kemudian menyelamatkan tujuh nelayan dan menahan empat suspek yang turut berada di dalam bot itu serta merampas tiga pucuk pistol.

“Bagaimanapun empat nelayan tempatan yang menaiki sebuah lagi bot dapat dibawa lari ke Thailand.

“Usaha kini sedang dijalankan untuk menyelamatkan empat nelayan terbabit dan sudah menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Pangkalan PPM Langkawi di Bukit Malut sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

“Kita juga sedang mengenal pasti identiti suspek dan latar belakangnya, malah sudah berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek,” katanya – berita harian