IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak membantah warta kerajaan Persekutuan mengenai Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, bantahan itu selari dengan prinsip keadilan dan amalan demokrasi yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan Malaysia baharu sekarang.

Menurutnya, jawatankuasa unit, Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan, PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) perlu dipilih berdasarkan secara demokrasi, seperti yang diamalkan selama ini.

Katanya, campur tangan melampau Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam pelantikan AJP PPK, PPN dan Nafas akan mematahkan semangat demokrasi yang didokong oleh kerajaan pada hari ini.

“Kami sebagai ahli peladang tiada halangan lantikan itu, namun janganlah melebihi barisan AJP yang dilantik oleh perwakilan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

Berdasarkan Warta Kerajaan mengenai pindaan itu yang bertarikh 22 April 2019, Menteri berkuasa melantik lima AJP PKK manakala tujuh dilantik dalam mesyuarat agung tahunan dan pengerusi dipilih melalui undi majoriti.

Di peringkat PPN, Menteri berkuasa melantik lima AJP dan mesyuarat agung hanya melantik empat AJP manakala pengerusi mesti mendapat kelulusan Menteri.

Di peringkat Nafas pula, Menteri boleh berkuasa melantik enam AJP sedangkan hanya lima dipilih dalam mesyuarat agung dan pelantikan pengerusi juga mesti mendapat kelulusan Menteri.

Nadzri berpendapat, langkah itu seolah-olah menafikan hak ahli-ahli di samping membawa semula pertubuhan peladang mengundur ke belakang.

“Pertubuhan peladang telah ditubuhkan sejak tahun 1973 dan ahli-ahli telah matang untuk menentukan masa depan pertubuhan peladang masing-masing kerana mereka juga merupakan pemegang saham,” ujarnya.

Nadzri berkata, pertubuhan peladang bukanlah sebuah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebaliknya ditubuh dan digerakkan seperti sebuah koperasi di mana AJP dipilih di kalangan ahli yang juga pemegang saham.

Tambahan pula, dakwanya, tiada perbincangan langsung antara kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang dengan pemimpin pertubuhan peladang di peringkat kebangsaan, negeri mahupun kawasan.

“Kami memohon kerajaan meneliti semula perkara ini kerana seolah-olah ianya tidak dibincang secara menyeluruh serta teliti dan dibuat secara tergesa-gesa hanya demi kepentingan melampau parti politik yang tertentu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nadzri berkata, PPN Perak berharap campur tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering memperjuangkan demokrasi sejati, untuk menyelesaikan segera isu tersebut.