IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak mencatat keuntungan RM7 juta tahun lalu,meningkat RM2 juta berbanding RM5 juta keuntungan tahun 2015.

Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail membayangkan, berdasarkan itu, dividen yang dibayar kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dijangka kekal 10 peratus seperti tahun-tahun lalu.

Beliau yakin, PPN Perak akan terus mencatatkan keuntungan pada tahun-tahun akan datang selepas kilang sawit pertama di Ladang Kampung Tengah, Beruas yang bernilai RM47 juta, memulakan operasi November tahun ini.

Beliau yakin, pihaknya mampu membekalkan sekurang-kurangnya 12,000 metrik tan sawit sebulan kepada kilang itu kerana mempunyai kira-kira 13,000 ekar ladang, di samping beberapa pusat membeli (ram) milik PPK dan swasta.

“Kilang sawit PPN mampu memproses 30 metrik tan sejam dan kita bercadang untuk meningkatkannya kepada 60 metrik tan sejam supaya mendapat pulangan pelaburan lebih cepat” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke – 39 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Isnin.

Perasmian disempurnakan Penolong Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Zabri Abd Wahid yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Nadzri berkata, sekiranya kilang pertama itu beroperasi dengan lancar, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membina kilang kedua bersebelahan kilang berkenaan kerana ia boleh menjimatkan kos operasi pengendalian.

Sementara itu, Dr Zabri berkata, berdasarkan pengalaman Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), selain daripada hasil minyak, kilang sawit juga boleh mendapat hasil daripada jualan hampas dan sisa buangan.

“Oleh itu, ahli-ahli PPN di seluruh negeri digalak melabur di dalam kilang ini kerana ia mampu memberi pulangan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzri yang juga Pengerusi PPK Tambung Bandaraya Ipoh, selain projek membekalkan makanan mentah kepada lima hospital iaitu di Slim River, Kampar, Tapah, Kuala Kangsar dan Changkat Melintang, yang bernilai RM5 juta, pihaknya juga merancang untuk mendapatkan kontrak yang sama di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Bahagia Hulu Kinta.