IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membawa isu kadar pemotongan dan pemutuan padi ke mesyuarat Kabinet supaya ia dapat diselesaikan segera.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, ini kerana kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula kadar pemotongan dan pemutuan padi yang didakwa terlalu tinggi sehingga membebankan golongan pesawah.

Menurut beliau, potongan pemutuan padi yang mencecah 22 hingga 60 peratus semusim terlalu tinggi kerana tiada nilai potongan maksima ditentukan kementerian, sedangkan kadar pemotongan sebelum ini hanya 16 hingga 18 peratus sahaja.

Sehubungan itu, kata beliau, PPN Perak berpendapat, sementara isu itu dapat diselesaikan kadar pemotongan berkenaan hendaklah diselaraskan antara 18 – 22 peratus sahaja.

Beliau berkata, PPN Perak menyambut baik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya kerajaan Persekutuan menangguhkan dahulu pelaksanaan pemutuan sebenar padi di negeri ini.

“Tindakan segera yang diambil oleh mesyuarat mingguan Exco pada Rabu adalah penanda aras kecemerlangan pihak kerajaan Barisan Nasional di dalam menangani permasalahan rakyat selaras dengan moto rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya dalam sidang media di pejabat PPN Perak di sini pada Khamis.

Nadzri berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas keprihatinan menubuhkan Jawatankuasa Khas Industri Padi dan Beras Peringkat Negeri Perak, bagi memantau dasar dan polisi di dalam sektor berkenaan.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah amat wajar bagi memastikan masalah yang berulang-ulang di dalam sektor padi dan beras dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Tiang Parit Buntar, Abdullah Salleh berkata, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman baru-baru ini supaya menyelesaikan beberapa isu pokok sebelum pemutuan sebenar padi dilaksanakan.

Menurutnya, antara isu pokok yang mesti diselesaikan ialah masalah pengairan yang tidak mencukupi kerana ia turut menyebabkan mutu padi merosot.

Bagi Pengerusi PPK Tanjung Piandang, Abdul Latif Mat Ali, ekoran tindakan pemotongan gred padi yang terlalu tinggi, ada pesawah yang terpaksa menanggung kerugian.

Sehubungan itu, beliau berharap, isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin, sebelum musim baru padi bermula tidak lama lagi.