IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak mahu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi memberi manfaat terus kepada golongan peladang dan petani.

Pengerusi baharu PPN Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, dalam masa sama mereka juga akan meneruskan program yang dilaksanakan kepimpinan terdahulu yang baik untuk ahli-ahlinya.

Menurutnya, selain meneruskan aktiviti tradisi seperti kelapa sawit dan padi, mereka juga akan mengenalpasti aktiviti baharu yang berpotensi.

“Hasrat saya adalah untuk membawa reformasi peladang yang dibawakan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani (Datuk Seri Salehuddin Ayub) agar pertubuhan peladang akan benar-benar memberi faedah peladang itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama PPN Perak selepas dilantik sebagai pengerusi di sini, hari ini.

Muhaimin dan empat lagi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Perak adalah lantikan menteri manakala empat lagi AJP dipilih oleh perwakilan di dalam mesyuarat agong.

Muhaimin berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan bekas pengerusi lalu, Datuk Nadzri Ismail yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama dengan pengurusan baharu.

Menurutnya, beliau berhasrat untuk membawa PPN Perak melalui gabungan tanggungjawab sosial dengan tanggungjawab sebagai sebuah badan perniagaan.

Katanya, setakat ini PPN Perak mempunyai 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan 102,000 ahli yang menjadi aset dan kekuatan kepada PPN.

“Saya rasa PPN ni adalah wadah yang terbaik untuk kita memberi sumbangan kepada masyarakat,” ujarnya.

Muhaimin berkata, selain mempunyai sebuah kilang sawit di Beruas dan sebuah stesyen minyak di Kuala Kangsar, PPN Perak juga akan membesarkan projek ternakan lembu melalui peruntukan RM300,000 daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Selain itu, katanya, pihaknya juga berhasrat untuk menjadi pemain utama dalam projek pembekalan padi benih yang beri manfaat terus kepada petani sendiri.