IPOH – Graduan yang berjaya menamatkan latihan di bawah selian Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sehingga kini, menjadi antara contoh komitmen Kerajaan Negeri untuk mencungkil kemahiran anak-anak Perak dalam bidang pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, meski pun ada di antara graduan yang kurang berjaya dalam pelajaran, tetapi potensi yang cenderung kepada bidang kemahiran membolehkan mereka menggapai kecemerlangan dalam hidup.

“Graduan yang ada di sini membuktikan inilah produk kerajaan negeri buat, kita buka ruang kepada anak-anak Perak yang mungkin pelajarannya tidak seberapa, tetapi ada kemahiran yang boleh kita bangunkan

“Jangan biarkan keadaan keluarga atau masalah lain menyempitkan peluang anda, saya selalu berpesan kepada Rizal (CEO PPPNP)supaya keuntungan yang ada diperuntukkan untuk didik anak-anak Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Latihan Integrated Certificate in Plantation Industry Management (ICPIM) dan Sijil Pengurusan dan Operasi Ladang (SPOL) bagi kumpulan 3 dan 4 di Wisma Wan Muhamad, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif International Institute of Plantation Management (IIPM),Halid Hasbullah Boestamam.

Untuk tahun ini, seramai 66 orang graduan menerima sijil penganugerahan tamat latihan dengan menjalani kursus selama 6 bulan di Pusat Latihan PPPNP,Lambor.

IIPM turut terlibat dalam menyediakan modul latihan, tenaga pengajar serta sijil kursus manakala pembiayaan kewangan graduan disediakan oleh pihak PPPNP.

Antara latihan yang dijalankan seperti Amalan Asas Tani, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Fungsi kerja Ladang Utama.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Dr.Zambry menyampaikan Anugerah Khas kepada dua pelajar terbaik dalam bidang masing-masing.

Mohd Fauzi Abdul Rom, 37,merupakan lulusan SPOL dan Mohamad Zul Azmi Abdullah,24,lulusan ICPIM membawa pulang sijil penghargaan dan wang bernilai RM 2,000.

BERITA BERKENAAN : Pujuk Anak Agar Tidak Termakan Dengan Politik Kebencian – Zahid

1/6