IPOH: Bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjarakan sosial, Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak (PPPKM) cawangan Kinta menyerahkan sumbangan secara pandu lalu atau drive-thru.

Sebanyak 100 kotak barang-barang keperluan harian disumbangkan kepada golongan memerlukan, termasuk ahli-ahli persatuan yang terjejas sumber pendapatan berikutan PKP.

Pengerusi PPPKM Cawangan Kinta, Zahari Abdul Murad berkata, pihaknya turut memberi sumbangan wang tunai kepada para penerima yang kesemuanya disumbangkan seorang dermawan dari Gopeng, Perak.

“Sebenarnya kita juga telah memberi bantuan makanan kotak melalui pejabat daerah yang disalurkan melalui penghulu-penghulu pada minggu lepas.

“Kita mempunyai 781 orang ahli dan kita membantu mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19 ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Bandar Seri Botani dan Flat Ashby di sini, hari ini.

Zahari berkata, setakat ini pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada lebih 200 penerima, termasuk daripada golongan asnaf.

Para penerima melahirkan rasa syukur kerana bantuan itu serba sedikit dapat meringankan beban kewangan mereka sekeluarga.

Peniaga kueh tepi jalan, Siti Rohana Abdul Manan berkata, dia hanya duduk di rumah sepanjang dua minggu lalu.

“Saya berterima kasih kepada insan dermawan yang menyumbang kepada kami yang pendapatan memang terjejas sebab dalam masa dua minggu ni saya memang tak boleh buat apa.

“Dengan bantuan ini sedikit sebanyak kuranglah beban yang kami yang saya sekeluarga hadapi,” ujarnya.

Pada masa sama, PPPKM turut mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk disalurkan kepada ahli-ahli yang memerlukan.

Mereka yang berhasrat berbuat demikian boleh berhubung dengan Pengerusi PPPKM Negeri Perak cawangan Kinta, Zahari Murad di talian 019-740 1111.