PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan diteruskan, namun ia bersifat fleksibel dan boleh diubah suai mengambil kira keperluan semasa sistem pendidikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata asas, falsafah dan anjakan dalam pelan itu sendiri akan dikekalkan, tetapi pelaksanaannya memerlukan kepada pengubahsuaian berasaskan keperluan semasa di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pelan pembangunan yang akan berakhir pada 2025 itu bersifat fleksibel dan boleh diubah suai mengikut keperluan dan kehendak semasa sistem pendidikan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

“Pelan ini hasil idea bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita akan teruskan seperti sekarang kerana ia akan berakhir pada 2025.

“Bagaimanapun, dalam masa panjang itu, sudah tentu ada fleksibiliti boleh diubah suai atas keperluan pada peringkat dalam negara atau antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Larian Mesra di Taman Botani di sini, hari ini, membabitkan kira-kira 1,500 warga pendidik sempena sambutan Hari Guru kebangsaan yang akan disambut esok.

PPPM 2013-2025 yang dilancarkan pada 6 September 2013 menggariskan 11 anjakan strategik untuk proses transformasi landskap sistem pendidikan negara.

Alias berkata, selaras tema Hari Guru tahun ini, Transformasi Menjana Perubahan, guru adalah penjana kepada perubahan generasi dan kecemerlangan profesion itu pada masa depan.

“Profesion perguruan ini berasaskan kepada profesionalisme, jadi sudah tentu Rukun Negara menjadi asas kepada pegangan falsafah warga pendidik.

“Selain itu, ketaatan guru kepada raja, negara dan kerajaan memang tidak dapat dipertikaikan, ia menjadi asas kepada setiap guru.

“Bidang pendidikan negara ini bersedia menghadapi cabaran di peringkat global, selain bersama-sama arus perdana di luar sana untuk meningkatkan segala aspek termasuk teknologi pendidikan, pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, pedagogi serta kurikulum.

“Dengan perkembangan digital yang melanda dunia ketika ini, kita akan tingkatkan peratusan untuk subjek berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Sains dan Matematik yang menjadi tumpuan kita tahun ini dan masa depan,” katanya – berita harian