IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Institut Agro Usahawan (iGROW) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama untuk melahirkan tenaga kerja mahir sektor pertanian dan agropreneur.

Kerjasama meliputi tiga bidang itu akan menjadi antara elemen penting dalam usaha merealisasikan Perak sebagai pengeluar utama makanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, kerjasama itu adalah antara insiatif kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam bidang pertanian.

Menurut beliau, PPPNP juga akan menaja 100 orang pelajar untuk menyambung pengajian di iGrow yang beroperasi di kawasan seluas 70.25 hektar di Mukim Tanjung Tualang, bagi tempoh setahun.

“Kolaborasi ini bukan sahaja menaja tetapi kesinambungan penyediaan tenaga mahir kepada sektor pertanian dan perladangan PPPNP dan berkaitan agro tourism dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media sejurus memeterai MoU itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Rizal, jika tiada usaha daripada sekarangsudah tentu ia tidak akan menjadikan satu pembangunan seimbang antara fizikal bagi peneraju sektor tersebut.

“PPPNP mahu membentuk usahawan dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor pengajian lagi keboleh pasaran dan untuk mengembangkan negeri ini sebagai negeri pengeluar.

“Cabarannya kini mempunyai teknologi, boleh membeli teknologi menguasainya tetapi jika tidak mampu melatih orang mengendalikan teknologi itu adalah satu kerugian,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif iGrow, Nordin Abdul Malek berkata, 60 peratus daripada pelatih tajaan PPPNP akan dilatih dan dibangunkan sebagai agropreneur di kawasan tersebut.

“Ini adalah usaha yang sangat baik yang menggabungkan syarikat bukan kerajaan dan swasta untuk membangunkan generasi muda dalam bidang pertanian dan industri asas tani,” katanya sambil menambah, pihaknya mempunyai pengalaman 15 tahun dalam bidang berkenaan.