IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan melaksanakan tujuh pendekatan baharu kepada penduduk negeri Perak yang terkesan ekoran COVID-19, menerusi Pakej Rangsangan PPPNP Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yahanis Yahya berkata, di bawah pakej itu, mereka menawarkan penangguhan pembayaran sewa dan pajakan tanah milik perbadanan sehingga Jun ini.

Di samping itu, mereka turut menyediakan pembayaran 20 peratus wang pendahuluan bagi usahawan yang telah diluluskan pinjaman, mempercepatkan bayaran geran usahawan tani asnaf yang telah diluluskan dan penangguhan pembayaran balik pinjaman tabung usahawan sehingga Jun ini.

Menurutnya, kontraktor turut bakal mendapat manfaat kerana pembayaran akan dibuat seperti biasa.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Fama dalam membeli hasil pertanian petani dan usahawan yang terjejas serta diedarkan sebagai bantuan kotak makanan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Yahanis berkata, pihaknya turut memberi sumbangan wang tunai RM200,000 dan 10,000 kotak makanan berjumlah RM500,000 kepada kerajaan kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya juga mengagihkan sumbangan bekalan makanan dan cecair pembersih tangan kepada 59 pengamal media sebagai penghargaan di atas tugas mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sumbangan sebagai menghargai pengorbanan media menyampaikan maklumat kepada semua rakyat Perak dalam suasana yang tidak menentu ketika ini,” ujarnya.