IPOH: Hari Raya tahun ini mungkin berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, namun kita harus menyambut hari kemenangan ini dengan penuh keceriaan, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ingatan Aidilfitri bersama kakitangan PPPNP di Dewan Agro, Kompleks Kakitangan Sungai Galah, hari ini.
Menurut beliau, pihak pengurusan PPPNP dan Lembaga Pengarah telah meluluskan pembayaran bonus buat pertama kalinya kepada kakitangan tempatan bergaji harian sebanyak satu bulan gaji atau bayaran minimum RM1,100.

Pemberian bonus telah memberi manfaat kepada 693 orang kakitangan bergaji harian dengan jumlah peruntukan sebanyak RM937,635.

Menurut salah seorang penerima, Zubaidah Salleh, pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka di dalam menghadapi situasi sukar ketika pandemik Covid-19 dan persiapan Aidilfitri.

“Selama kami berkerja, ini merupakan pertama kalinya pekerja bergaji harian menerima bonus seumpama ini,” katanya.
Selain daripada itu, tahun ini merupakan tahun kedua pemberian insentif Aidilfitiri kepada semua kakitangan tempatan sebanyak setengah bulan gaji dengan melibatkan peruntukan RM1.2 juta yang memberi memanfaatkan 1,991 kakitangan.
Sebagai tambahan, PPPNP turut menyumbangkan pek Aidilfitri yang mengandungi barangan seperti kuih raya, kurma dan pulut susu bernilai RM90 setiap pek kepada 1,808 kakitangan.