TAPAH: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menyediakan kertas cadangan untuk mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) khusus untuk golongan berpendapatan sederhana di negara ini.

 

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam program PPR baharu itu, kerajaan bercadang membina rumah dengan nilai RM180,000 dan dijual dengan harga RM150,00 kepada golongan tersebut.

 

Menurut beliau, melalui perancangan itu, kerajaan bercadang untuk memberi subsidi sebanyak RM30,000 bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah.

 

“Sebelum ini PPR hanya untuk golongan miskin yang mana kita buat rumah dengan kos RM170,000 atau RM190,000 tapi kita jual kepada rakyat dengan harga RM35,000 tapi golongan sederhana ini tidak layak, sebab itu kita sediakan cadangan baharu ini,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di sini pada Khamis.

 

Noh memberitahu, sekiranya mendapat kelulusan, program baharu itu akan diberi keutamaan khas dalam kawasan bandar terlebih dahulu.

 

“Kita akan beri keutamaan dalam kawasan perbandaran terlebih dahulu sebab kita buat ini untuk jual dan sudah tentu kita nak pilih lokasi yang mudah untuk dijual dan di mana golongan berpendapatan sederhana ini tertumpu.

 

“Saya telah pun berbincang dengan Menteri Kewangan Dua, Datuk Johari Abdul Ghani, kita akan angkat rancangan ini kepada Majlis Ekonomi dalam masa terdekat,” ujar beliau.