IPOH: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan membina 957 unit rumah mampu milik di Teluk Intan dengan nilai pembangunan kasar RM232 juta.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, projek yang terletak bersebelahan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Changkat Jong itu, dijangka siap menjelang tahun 2020.

Menurut beliau, fasa pertama melibatkan 523 unit adalah rumah teres satu tingkat berharga RM180,000 manakala bakinya rumah teres dua tingkat berharga kurang daripada RM250,000.

“PR1MA dialu-alukan datang ke Teluk Intan dan saya harap projek ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk di Teluk Intan dan sekitarnya,” katanya pada sidang media selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan edisi Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 56 hektar.

Menurut beliau, projek tersebut mensasarkan pembeli di kalangan golongan B40 dan M40.

“Dengan kedudukannya bersebelahan kampus UPSI, pembangunan projek ini akan membantu merancakkan pembangunan bandar Teluk Intan di samping memenuhi keperluan golongan tersebut,” ujarnya.